Tuesday 25 February 2014

Cerpen : Ayah, Engkau Tiada Pengganti








Hidayah duduk termenung di buaian yang dibuat oleh arwah ayahnya. Kepalanya memikirkan kenangan bersama arwah ayah, sungguh indah sekali. Senyum terukir di bibir bersama lindangan air mata. Arwah ayahnya amat menyayangi dirinya, sehinggakan apa yang diinginkan pasti dituruti dengan apa cara sekali pun. Dia sangat kesal dengan dirinya, kerana tidak pernah menghargai masa sebaik mungkin yang diberi oleh sang pencipta bersama arwah ayahnya. Dia juga menyesal kerana terlampau mengikutkan hawa nafsu sehingga mengorbankan nyawa ayahnya sendiri. Jika boleh diputarkan masa, dia berjanji akan lebih menghargai dan lebih menyayangi ayahnya. Tetapi itu semua sudah terlambat, masa tidak boleh diputar dan dia perlu menerima segalanya dengan hati yang terbuka. Masa lalu itu akan dijadikan pengajaran buat dirinya.
*****
Siti Nur Hidayah Bt. Mohammad Firdaus nama diberi oleh kedua ibu dan ayahnya. Anak tunggal Encik Firdaus dan juga Puan Hikmatul. Hidayah mempunyai seorang ayah yang amat penyayang. Bagi Encik Firdaus, Hidayah adalah segala-gala buatnya. Segala kemahuan anaknya pasti dituruti. Puan Hikmatul selalu berpesan kepada suaminya agar tidak terlalu mengikuti kehendak Hidayah, ianya membuatkan anak tunggalnya itu tidak pandai berdikari dan terlalu manja.
Kringgg....
Loceng sekolah berbunyi, ia menunjukkan waktu persekolahan sudah pun berakhir. Hidayah dan teman rapatnya Kira dan Syafatin bagai lipas kudung mengemas alat tulis dan buku-buku yang bersepah di atas meja yang berwarna peach itu. Bukan mereka sahaja berkelakuan seperti itu, malah hampir satu kelas turut berkelakuan yang sama. Di mata mereka sudah terbayang pintu pagar sekolah yang sudah siap terbentang luas untuk mereka melangkah keluar dari kawasan sekolah. Selesai mengemas, mereka bertiga berjalan keluar dari kelas tingkatan dua Arif. Terpancar riak wajah yang gembira dimuka setiap pelajar, kerana sudah bermulanya cuti sekolah. Hari yang amat dinanti-nantikan oleh setiap pelajar, terutama pelajar berbangsa Cina yang akan menyambut hari perayaan Tahun Baharu Cina.
“Wei korang esok jom pergi tengok wayang,” tanya Syafatin kepada dua sahabatnya itu.
“Ok, set! Pukul berapa?” tanya Kira.
“Kita keluar pukul sepuluh pagi,” balas Syafatin
“Ermmm... Ok.”
“Kau tak nak ikut kita orang ke?” tanya Syafatin.
“Mestilah nak,” jawab Hidayah.
*****
Hidayah yang baru selesai melaksakan solat maghrib duduk di kerusi meja belajarnya. Kepalanya ligat berfikir cara untuk dia keluar bersama teman-temannya pada esok hari. Kalau ditanya ibu, mesti jawapannya ‘tidak’ sama sekali. Duit poketnya pula sudah kehabisan, kepalanya pusing memikirkan bagaimana cara dia ingin memperoleh duit dan minta kebenaran keluar dari orang tuanya itu. Dalam dia ralit memikirkan cara menyelesaikan masalah pintu biliknya diketuk.
Tuk, tuk, tuk...
Pintu bilik dibuka dari luar. Orang yang mengetuk pintu biliknya adalah Encik Firdaus, ayahnya.
“Buat apa tu? Kerja sekolah dah siap?” tanya ayahnya lalu diduduk di sisi katil bujang anak perempuannya.
“Baru lepas solat, kejap lagi baru Dayah buat,” jawab Dayah dengan raut wajah yang sarat memikirkan sesuatu.
“Kenapa muka tu berkerut je?” tanya Encik Firdaus.
‘Nak tanya ke tak nak ye, nanti kalau ibu tahu mesti marah punya,’ bisik Dayah dalam hati.
“Ermmm... Dayah... Dayah... nak keluar esok dengan Fatin dan Kira esok boleh tak?” tanya Dayah seakan berbisik, takut di dengari ibunya.
“Nak keluar pergi mana?” tanya Encik Firdaus kepada anak tunggalnya itu.
“Nak keluar tengok wayang.”
“Pergi la.”
“Tapi... Dayah tak ada duit,” jawab Dayah takut-takut.
“Minggu lepaskan ayah baru bagi duit,” berkerut dahi Encik Firdaus. Minggu lepas baru dia memberi duit kepada anaknya. Bukan dia tidak boleh beri duit kepada anaknya tetapi semenjak dua menjak ini perniagaan dia tidak berapa baik.
Dayah menundukkan kepalanya.
“Tak apalah, tak jadi pergi la esok,” suara Dayah kedengaran sayu.
Tidak sanggup pula melihat anaknya bersedih. Di keluarkan beg duit di poket belakangnya. Beg duit berwarna hijau daun dibuka, hanya ada sekeping not lima puluh ringgit, duit itu untuk di guna mengisi minyak kereta esok. Tanpa berfikir panjang dihulur not lima puluh ringgit itu kepada anaknya. Tidak sampai hati melihat anaknya bermuka muram.
“Nah, ambil duit ini,” duit lima puluh ringgit yang dibawa keluar oleh Encik Firdaus tadi sudah bertukar tangan.
Dayah mula mengukir senyuman di wajahnya.
“Terima kasih ayah.”
“Mmm, dah pergi siapkan kerja sekolah, jangan nak pening-pening fikir lagi.” Encik Firdaus mengangkat punggungnya dan melangkah keluar dari bilik anaknya. Sebelum itu sempat dicium kepala anak kesayangannya itu. Sungguh dalamnya kasih sayang seorang ayah terhadap anaknya.
*****
Ting!
Pintu lif terbuka, lalu Fatin, Kira dan Dayah melangkah masuk. Lif bergerak laju naik ke tingkat tiga.
Ting!
Sekali lagi lif itu berbunyi serta pintunya terbuka. Laju kaki mereka melangkah keluar dan menuju ke kaunter untuk membeli tiket.  
“Nak tengok cerita apa ni?” tanya Kira.
The conjuring!” jawab Fatin dan Dayah serentak.
“Ok, sebelum tu keluarkan duit siap-siap bagi dekat aku, karang senang nak bayar,” masing-masing sibuk keluarkan duit yang berjumlah dua belas ringgit lalu diberi ke Kira.
“Aku pergi beli tiket jap.”
Dayah dan fatin duduk di kerusi kayu yang berada di tepi dinding sementara menunggu Kira membeli tiket. Fatin mengeluarkan sesuatu dari beg tangannya.
“Wei, tada!” tunjuk Fatin kepada Dayah.
“Wah! I-Pad! Bila masa kau beli?” tanya Dayah.
“Semalam ayah aku baru beli untuk aku,” balas Fatin bangga.
Bestnya, aku dari dulu nak sangat I-Pad tau, alih-alih kau yang dapat dulu,” sememangnya sudah lama Dayah menyimpan hasrat untuk memiliki I-Pad. Dayah Kelihatan cemburu dengan apa yang Fatin miliki itu.
“Ala kau mintalah ayah kau apa susah. Kau kan anak bapak. Apa yang kau nak mesti ayah kau bagi,” terdiam seketika Hidayah memikirkan apa yang dikatakan oleh teman baiknya itu. “Ha ah kan kenapa aku tak terfikir dari dulu lagi.”
*****
Jam menunjukkan pukul satu pagi. Dayah masih tidak berganjak dari sofa, matanya masih melekat di television. Kalau ikutkan hati mahu sahaja Dayah masuk ke bilik dan tidur, tetapi apabila mengenangkan inilah masa yang sesuai untuk bercakap secara bersendirian tanpa adanya kewujudan ibunya, digagahkan juga matanya menahan kantuk. Tidak lama kemudian, dia terdengar bunyi kereta memasuki perkarangan rumahnya.
‘Yes! ayah dah balik!’ terukir senyuman di wajah Dayah.
Pintu rumahnya dibuka dari luar, Dayah berpura-pura khusyuk menonton television. Setelah mengunci pintu Encik Firdaus melangkah ke sofa lalu dilabuhkan punggungnya.
“Tak tidur lagi, kenapa? Dah lewat ni,” tanya Encik Firdaus lalu diusap kepala anak bongsunya.
“Tak mengantuk lagi,” balas Dayah.
Suasana menjadi sepi, hanya television yang bersuara, tidak lama kemudian, “Ayah mmm... boleh...mmm...boleh tak ayah belikan Dayah I-Pad?”
“I-Pad? Dayah nak buat apa? Laptop kan ada.”
“Ala laptop tu lain, I-Pad tu lain. Kawan Dayah dah ada I-Pad, Dayah yang dari dulu nak tak dapat alih-alih dia pula yang dapat dulu,” mulut anak bongsunya sudah kelihatan muncung.
“Siapa kawan Dayah itu?” tanya Encik Firdaus.
“Fatin,” balas Dayah, di dalam hatinya berdoa agar hajatnya akan termakbul.
“I-Pad tu lebih kurang macam laptop juga, buat apa nak membazir beli I-Pad,” tutur Encik Firdaus lembut.
“Lainlah ayah, I-Pad tu mudah nak bawak ke mana-mana beza dengan laptop. Lagi pun zaman dah canggihlah ayah.” Hidayah masih berkeras mahukan I-Pad yang di idamkan dari dulu itu.
“Guna  jelah apa yang ada dulu ye, sekarang ni ayah tengah tak ada duit.” Encik Firdaus cuba memujuk anaknya itu, sememangnya dia tidak mempunyai duit. Di dalam beg duitnya sekarang hanya mempunyai lima ratus ringgit sahaja, itu pun untuk membeli barang berniaganya esok.
Muka Dayah sudah mencuka. Lalu kakinya terus diangkat dan melangkah masuk kebiliknya. Pintu biliknya di hempas tanda protes.
*****
“Dayah mana, kenapa tak makan sekali?” tanya Encik Firdaus.
“Tah la katanya kenyang lagi,” balas Puan Hikmatul yang menyenduk nasi kepinggan suaminya, dia tahu anaknya merajuk dengan suaminya tetapi tidak tahu pula apa punca anaknya merajuk dengan suaminya, malas dia ingin mengambil tahu, tidak lama lagi baik la itu.
Sudah tiga hari anaknya tidak makan bersama dengannya, hanya memerap di biliknya sahaja, pintu bilik dikunci pula. Rindu sungguh dia dengan anak bongsunya.
 “Abang lepas solat zohor kita pergi hospitalnya.”
“Buat apa? Abang sakit sikit je,” sudah tiga hari Encik Firdaus tidak pergi bekerja, perniagaannya diserahkan kepada pembantunya, ini kerana kaki Encik Firdaus terhempap khemah ketika mengemas gerainya.
“Sakit sikit sampai tak boleh tidur malam? Apa yang nak ditakutkan bang pergi hospital itu. Nanti lepas zohor kita pergi,” pujuk Puan Hikmatul.
“Abang nak pergi kedai lepas ni, dah lama tinggalkan dekat Hisyam kesian pula dia kena uruskan semuanya sedangkan perniagaan tu abang yang punya. Nak cuti nanti gaji tak ada pula,” balas Encik Firdaus.
“Abang hari ini usah la pergi dulu kaki abang tu tak baik lagi, macam mana nak drive.”
“Ish awak ni, bukan teruk sangat kaki abang ni, berjalan boleh lagi nak memandu apa tah lagi bolehnya. Dah lepas ni tolong sapukan minyak angin dekat kaki abang.”
“Abang....”
“Dah dah makan cepat.”
*****
“Tengok cerita apa tu?” tanya Encik Firdaus yang baru lepas melaksanakan solat isya’ duduk di sebelah anak bongsunya.
Dibiarkan sahaja soalan ayahnya tanpa dijawab. Merajuk tak habis lagi la tu.
 “Dayah nak bila?” tanya Encik Firdaus.
Dayah mengalih pandangannya yang tadinya melekat di television ke Encik Firdaus, kening kanannya terangkat sedikit keatas.
“Ayah betul ke nak belikan?” tanya Dayah meminta kepastian.
Encik Firdaus menganggukkan kepalanya.
“Esok boleh tak?” senyuman sudah terukir indah di wajah anak kesayangannya.
“Cepatnya, ok la esok kita pergi belinya,” balas Encik Firdaus sambil di cubit pipi anaknya, terasa sedikit lega hatinya apabila melihat anaknya tersenyum.
“Terima kasih ayah. Sayang ayah,” lalu di peluk ayahnya seerat-eratnya.
“Nanti belajar rajin-rajin tahu.”
“Yes bos!”
*****
Jam menunjukkan pukul sepuluh pagi, baju untuk keluar membeli gajet sudah digosok. Lantas kakinya melangkah ke dapur untuk mengisi perut.
 “Ayah kita nak pergi pukul berapa?” tanya Dayah yang baru melangkah masuk ke dapur.
“Pergi mana?” tanya Puan Hikmatul.
“Pergi Selayang Mall,” balas Dayah. Encik Firdaus yang sedang menikmati sarapan bersama isterinya senang hati melihat anaknya gembira.
“Nak buat apa pergi sana? Kaki ayah dah membekak tu, ibu nak bawa ayah pergi hospital kejap lagi,” kelihatan tegang suara Puan Hikmatul, marah gamaknya dengan sikap anaknya yang tidak mengambil berat tentang kaki ayahnya yang sudah sedikit membengkak itu.
Hidayah memandang ayahnya meminta penjelasan.
“Tak payah la matul, kan abang dah cakap lagi dua tiga hari nanti baik la.”
“Abang kaki abang tu matul tengok lagi teruk, mari la kita pergi hospital. Nak ‘bershoping’ pun tunggu la kaki tu sihat, jangan ikutkan sangat kehendak budak bertuah ini,” jeling Puan Hikmatul kepada anak daranya.
“Ayah...”
“Ye ye dah cepat makan, lepas makan kita pergi.”
“Abang dengar la cakap matul kita pergi hospital ye. Dayah nak pergi Selayang Mall biar Matul yang bawa.”
“Ok macam ini lepas abang pergi Selayang Mall dengan Dayah, balik je kita terus pergi hospitalnya. Abang pergi sekejap sahaja, lepas beli abang terus balik.”
“Abang nak beli apa sebenarnya? Sampai tolak ke tepi pasal kesihatan abang.”
“Adalah...”
“Dayah apa yang kamu nak beli? Pergi dengan ibu je kaki ayah sakit tu,” berang pula Puan Hikmatul melihat sikap anaknya, ini lah terlampau di manjakan. Sudah kerap kali dipesan kepada suaminya, jangan diikutkan sangat kehendak anaknya itu.
“Tak mahu, nak pergi dengan ayah juga lagi pun duit pada ayah.” Dayah berkeras mahu pergi bersama ayahnya. Dia yakin jika ibunya tahu yang dia ingin membeli I-Pad pasti ibunya membangkang.
“Abang bagi duit pada saya, biar saya pergi dengan Dayah.”
“Ayah...”
“Dah jom kita pergi sekarang nanti balik ayah nak pergi hospital dengan ibu kamu,” dengan payah Encik Firdaus mengangkat punggungnya untuk berlalu keluar, Encik Firdaus sudah fikir masak-masak akan membelikan anaknya I-Pad, kalau diikutkan sememangnya dia tidak mempunyai wang, tetapi apabila teringat akan duit simpanannya yang hanya akan digunakan apabila waktu kecemasan, terus sahaja dikeluarkan duit itu separuh untuk membelikan I-Pad untuk anak kesayangannya.
*****
I-Pad yang baru di beli itu tadi dipeluk kemas.
“Ayah terima kasih,” lalu kakinya melangkah ke tangga bergerak bersama ayahnya.
“Sama-sama, ingat belajar rajin-rajin.”
“Dayah janji akan belajar rajin-raj....” ayat Hidayah termati di situ apabila terdengar suara perempuan menjerit, “Tolong! Beg saya...”
Seorang lelaki berpakaian biru tua dengan memakai topi, meragut beg seorang wanita muda yang berada di tangga bergerak yang sama landasan dengan mereka, lelaki itu merempuh orang yang berada di hadapannya tidak terkecuali Hidayah dan ayahnya yang berada di tangga bergerak itu  sehinggalah peragut itu menolak ayahnya yang tidak sempat untuk mengelak sehinggakan Encik Firdaus hilang keseimbangan lalu menggelongsor jatuh ke bawah. Betapa terkejutnya Hidayah melihat ayahnya berguling jatuh dari tangga bergerak, begitu pantas ianya terjadi.
 “Ayah!” orang ramai mula mengelilingi Encik Firdaus yang sudah terbaring di lantai. Hidayah berlari mendapatkan ayahnya.
“Ayah, ayah... Ayah bangun,” di tepuk-tepuk pipi ayahnya, Hidayah mula panik.
“Ayah... ayah... bangun dengar tak suara Dayah. Bangun Ayah...” matanya mula berkaca.
“Tolong, tolong ayah saya!” Hidayah meminta bantuan orang sekeliling yang mengerumi ayahnya.
Dipangku kepala ayahnya ke riba. Dia merasa sedikit basah di belakang kepala ayahnya, lalu di kalih tanganya dari memegang kepala ayahnya itu.
Darah! Mengeletar Hidayah melihat darah yang mengalir dari kepala ayahnya.
*****
“Dayah masuk dah nak masuk maghrib ni,” jerit Puan Hikmatul di jendela.
Dayah tersentak dengan suara ibunya, diseka air matanya yang mengalir di pipinya. Tergelam sebentar dia dengan kenangan yang tidak akan dilupakan buat selama-lamanya. Selepas kejadian tersebut dia tidak pernah lagi menaiki tangga bergerak, yang membawa dia ke hari yang paling digerunni, ayahnya mengalami kecerderaan kepala yang teruk akibat hentakkan yang kuat di bucu tangga bergerak yang gerigi itu sehinggakan membawa maut.
Kini dia tidak lagi mempunyai seorang ayah yang penyayang dan mengambil berat tentangnya lagi. Baru sekarang dia tahu ayahnya adalah insan yang penting dalam hidupnya.
‘Ayah Dayah minta maaf, Dayah tak pernah menghargai ayah. Dayah tahu Dayah anak yang teruk , Dayah menyesal. Kalau kita tak pergi beli....’ Air matanya mengalir deras, ‘Dayah janji Dayah akan jadi anak yang baik dan mendengar kata. Maafkan segala kesalahan Dayah ayah. Ayah adalah seorang ayah yang paling sempurna buat Dayah. Dayah sayang ayah!’

-TAMAT-






* Cerpen ini telah dihasilkan tahun lepas, tetapi masih mempunyai kekurangan dan tidak mempunyai keyakinan untuk 'mengpost' kerana ini adalah cerpen pertama yang dibuat oleh saya. Beberapa hari ini saya membuka kembali fail cerpen ini dan membaikinya. Dengan sedikit keyakinan yang ada dalam diri saya berbanding dengan sebelum ini saya tekat untuk 'mengpost'. Jadi sekiranya mempunyai kesalahan didalam cerpen ini tegur lah saya. Sekian... ^_^ V 

No comments:

Post a Comment